skb.zoom-a.com
SEKOLAH KEBANGSAAN BALING
SK Baling, 09100 Baling, Kedah. Tel : 04-4702284, Faks : 04-4702914
e-mel : skb@zoom-a.com

| LAMAN UTAMA | PANORAMA | KATA ALU-ALUAN | SEJARAH | VISI & MISI | DOA SEKOLAH | LAGU SEKOLAH | STAF AKADEMIK | STAF SOKONGAN | PIBG | KEPUTUSAN UPSR | REUNION | AKTIVITI | PAUTAN | BUKU PELAWAT | Untitled | TESTING |


SEJARAH SEKOLAH

                   Sekolah Kebangsaan Baling mula di asaskan pada tahun 1910, bertempat di Kampung Seberang Pekan Baling (berhampiran dengan Masjid Lama). Bangunan dibuat secara bergotong-royong dan dipelopori oleh Tuan Pegawai Daerah, Penghulu Mukim, orang-orang kenamaan dan penduduk berhampiran,Guru Besar yang pertama ialah Tuan Haji Ahmad yang berasal dari Pulau Pinang. Pada ketika itu tiada Guru Penolong yang membantunya dan murid terpaksa dicari dari rumah ke rumah.

                Setelah bangunan lama mengalami kerosakan, bangunan baru dibuat secara gotong-royong juga, bertempat di Jalan Ahmad Pekan Baling. Sekolah baru ini ditadbir oleh seorang Guru Besar yang berasal dari Pulau Pinang. Beliau ialah Encik Muhammad bin Isa yang datang ke sini bersama-sama dengan seorang Guru Penolong.

                  Sekolah yang ketiga didirikan dengan bantuan kerajaan di Jalan Weng, berhampiran dengan Pejabat-Pejabat Kerajaan pada masa itu.Keadaan pembelajaran dan pentadbiran mula berubah setanding dengan sekolah-sekolah yang ada di daerah lain.

                  Pada tahun 1914, sekolah yang keempat didirikan oleh kerajaan negeri. Tanah tapak bangunan juga telah dibeli oleh Kerajaan Negeri di Jalan Mahmud, Baling (Tapak sekolah yang ada sekarang ini, iaitu Lot 502, Lot 503 dan Lot 504). Sekolah baru ini adalah sebuah sekolah kayu bertiangkan simen rendah dan beratap genting. Guru Besarnya ialah Encik Hashim bin Tahir  yang berasal dari Pulau Pinang dan berkelulusan Kolej Melaka (Malacca Training College). Tiga orang Guru Penolong yang berasal dari murid tua sekolah ini iaitu Cikgu Abd.Aziz, Cikgu Hambali dan Cikgu Abdullah turut mengajar di sekolah ini. Sistem naik darjah secara peperiksaan mula diperkenalkan.

                 Encik Hashim bin Tahir telah bertukar dan tempatnya diambil alih oleh Encik Ariffin sebagai Guru Besar yang baru. Beliau bersama-sama Cikgu Omar bin Che Teh dan guru-guru penolong yang lain memperkenalkan kegiatan Luar Bilik Darjah seperti bersukan, senaman, permainan Bola Sepak dan berkebun.

              Pada tahun 1935 Encik Ariffin selaku guru besar telah ditukarkan ke Sungai Petani dan tempat beliau telah digantikan oleh Encik Puteh bin Ma'Som. Pada masa ini sebuah sekolah perempuan telah didirikan di tapak Bangunan A sekarang. Akhirnya sekolah perempuan ini ditutup kerana kurang mendapat sambutan dari masyarakat setempat dan kemudian meletusnya pula perang dunia kedua.

                  Selepas perang, Encik Md.Isa Bin Abu Bakar datang bertugas sebagai Guru Besar di sekolah ini. Dengan usaha beliau sebuah bangunan tambahan telah didirikan dengan Kerjasama Lembaga Didikan Sekolah.

                   Encik Md. Isa bin Abu Bakar telah ditukarkan dan tempat beliau telah digantikan oleh Encik Md.Isa bin Hj.Kassim. Semasa beliau menjadi Guru Besar iaitu pada tahun 1952, sebuah bangunan tambahan dan sebuah bangunan Urusan Rumah Tangga telah didirikan.

                    Encik Md. Isa bin Hj. Kasim turut ditukarkan dan tempatnya diambil alih oleh Guru Besar yang baru iaitu Hj. Din bin Yeb. Semasa beliau menjadi Guru Besar, sekolah ini telah dibahagikan iaitu sekolah Lelaki dan Sekolah Perempuan. Sekolah Perempuan ditadbir oleh Hajjah Ramlah bt Md. Hussain. Sungguhpun sekolah ini dipecah dua tetapi pentadbirannya disatukan oleh sebab Guru Besarnya adalah suami isteri.

                   Pada 03.01.1960 Encik Omar Bin Md.Rejab telah dilantik sebagai Guru Besar sekolah ini menggantikan Hj. Din bin Yeb. Semasa beliau menjadi Guru Besar , sekolah ini telah dijadikan sebagai Sekolah Pusat. Sekolah Lelaki dan Sekolah Perempuan telah disatukan semula.

                  Pada 01.07.1961 Encik Basarud-din bin Ariffin dari Sekolah Kebangsaan Kuala Muda mengambil alih tugas Guru Besar sekolah ini. Sekolah Pusat pada masa itu mempunyai murid seramai 624 orang dengan 24 orang tenaga pengajar. Sekolah pula hanya mempunyai 11 bilik darjah. Oleh itu dua sesi persekolahan diwujudkan (Sesi pagi dan sesi petang)

Pada tahun 1961 juga dua orang guru DTC mula ditempatkan di sekolah ini diikuti oleh 8 orang lagi pada tahun 1962. Murid pula telah bertambah menjadi 658 dengan 27 orang guru. Sebuah bangunan tambahan 4 bilik darjah dan 1 bilik Guru Besar (Bangunan B sekarang ini ) didirikan.

Namun begitu kelas sesi petang terpaksa diadakan juga untuk menampung 18 kelas yang tidak dapat dijalankan serentak di sebelah pagi. 11 kelas dijalankan pada sesi pagi dan 7 lagi dijalankan pada sesi petang.

Pada tahun 1971 sekolah ini mendapat sebuah lagi bangunan baru dua tingkat iaitu Bangunan C sekarang ini, sebuah kantin dan pagar bagi kawasan sekolah. Bangunan asal iaitu bangunan yang diperbuat dari kayu dirobohkan  dan dijadikan padang permainan sekarang ini.

                      Pada 13.04.1974 Encik Basarud-din telah bercuti dan terus bersara. Jawatan Guru Besar telah dipangku oleh Encik Hajazi bin Abd.Karim iaitu Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Baling pada masa itu.

                      Pada 03.02.1976 Encik Abd. Hamid bin Ahmad telah dilantik menjadi Guru Besar sekolah ini.

                      Pada 01.01.1980 Encik Abd. Hamid bin Ahmad telah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil dan tempat beliau telah diambil alih oleh En. Abdullah bin Shariff. Semasa beliau menjadi Guru Besar, tanah Lot 505 yang berkembar dengan dengan sekolah telah dibeli oleh kerajaan untuk dijadikan kawasan sekolah. Pada masa itu kawasan sekolah telah menjadi 3 ekar persegi. Sebuah bangunan tambahan yang mempunyai 10 bilik darjah  telah dipohon untuk didirikan dalam masa Rancangan Malaysia Ketiga   (1976 - 1980). Projek yang bernilai RM 427,500.00 ini walaupun mendapat kelulusan Kementerian tetapi tidak dapat dilaksanakan.

                  Encik Abd. Majid bin Teh telah mengambil alih tugas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Baling menggantikan Encik Abdullah bin Shariff yang dilantik menjadi Penyelia Sekolah Rendah Daerah Baling/Sik apabila Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) wujud. Pada tahun 1982, 2 bilik darjah di Bangunan B telah diubahsuai untuk dijadikan Pejabat Pendidikan Daerah Baling/Sik.

                     Encik Abd.Majid bin Teh telah bersara pada tahun 1989 dan jawatan Guru Besar telah diambil alih oleh Encik Ismail bin Abdullah pada awal tahun 1990. Sebuah bangunan tiga tingkat (Bangunan E) yang mempunyai 10 bilik darjah, Pusat Sumber, setor dan tandas telah siap dibina pada September 1990.

                      Sekolah Kebangsaan Baling telah dinaikkan taraf kepada "Gred A" pada tahun 1992 dengan murid seramai 758 orang dan tenaga pengajar seramai 32 orang, seorang Pembantu Tadbir , seorang Pembantu Am Rendah, tiga orang Pekerja Rendah Awam dan seorang Jaga Sekolah.

     Encik Ismail bin Abdullah telah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Kupang dan tempat beliau telah digantikan oleh Tuan Hj. Md. Ramli bin Hj. Isa pada 01.12.1992. Guru Besar ini adalah dari Pejabat Pendidikan Daerah Baling/Sik.

      Setelah Tuan Hj. Md Ramli bin Hj. Isa bersara, jawatan Guru Besar telah                            diambil alih oleh Tuan Hj. Mat Salleh bin Sagir pada 01.01 1996.

                 Pada 31.12.2001,Tuan Hj. Mat Salleh pula bersara dan beliau telah digantikan oleh En Shahrudin bin Epat sehinggalah sekarang.




Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: